KUALA LUMPUR: Polis akan melaksanakan Op Lancar di beberapa lokasi di lima daerah di Selangor dalam Op Selamat 21 bermula Khamis ini hingga 13 Feb depan sempena Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua daerah itu ialah Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Serdang dan Klang Utara dengan melibatkan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di Plaza Tol Gombak, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di Kilometer 30, Jalan Klang-Teluk Intan, Pekan Kuala Selangor ke Tanjung Karang dan Jalan Kuala Selangor-Rawang.

Beliau berkata selain itu Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dan Klang-Teluk Intan di Pekan Kapar serta Plaza Tol Sungai Besi di Serdang.

"Dalam operasi ini sebanyak 11 operasi perangkap had laju dan lima lokasi Op Lancar akan dilaksanakan dengan kekuatan 61 pegawai kanan dan 432 anggota sepanjang enam hari bagi memastikan lalu lintas berjalan lancar.

"... menjadi tanggungjawab pengguna jalan raya untuk memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, bertolak ansur, tidak menggunakan telefon bimbit dan mematuhi undang-undang lalu lintas," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Advokasi peringkat Kontinjen Selangor sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Puchong Selatan, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) di sini hari ini.

Hussein berkata semua elemen dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk unit dron, aset helikopter, 42 kereta serta 89 motosikal akan digunakan sepanjang operasi terbabit bagi memantau lokasi kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata sekiranya berlaku kemalangan atau kecemasan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Trafik Bukit Aman menerusi talian 03-2266 3356, hotline Bilik Gerakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan  Trafik Selangor 03-5510 0559 atau hotline CCC Selangor 03-5514 5206.

Sementara itu, Hussein berkata Op Aman Khas 1/2024 yang dilaksanakan selama dua minggu di Klang, Selangor bermula 15 Jan lepas, dilihat berjaya menurunkan indeks jenayah khususnya di kawasan terbabit dan operasi itu akan diteruskan di daerah lain di Selangor.

Beliau berkata operasi berkenaan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan antaranya PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Tenaga Kerja, Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan dengan memfokuskan elemen gangsterisme, jenayah kekerasan serta orang dikehendaki.

Menurut Hussien dalam operasi yang dijalankan di 16 lokasi tapak projek dan sarang penagih dadah itu, seramai 1,184 individu ditahan atas pelbagai kesalahan selain 85 individu dikehendaki turut ditangkap. 

Pada Ahad lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Hussain menegaskan PDRM komited dalam memastikan Klang bersih dan tidak sama sekali membenarkan daerah itu disamakan dengan Colombia susulan kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan itu.

-- BERNAMA